Thursday, August 19, 2010

Dusta Kelebihan Terawih.

Assalamualaikum..salam ramadhan buat semua rakan yang Mida sayang dan pengunjung-pengunjung blog ini.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa rasulullah s.a.w bersabda barang siapa yang mendirikan sembahyang terawih pada bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka Allah ampunkan segala dosanya yang telah lalu ( riwayat muslim )

Mida ingat lagi masa zaman belajar dulu, di dinding atau di kepala katil masing-masing tertampal tentang fadhilat terawih dari hari pertama hinggalah hari terakhir malam yang ke 30.Anda bagaimana? Ada buat tak? Ingat tak apa fadhilat-fadhilatnya? Ha..ha..tadi kemas stor buku-buku dan mainan,erm terjumpalah helaian kertas tentang fadhilat terawih ni di celah-celah buku.Ok ni la dia.....

Malam pertama- Keluarlah dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru di lahirkan ( mendapat keampunan dari Allah )
Malam Kedua  - Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya. 

Malam Ketiga - Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
Malam Keempat - Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
Malam Kelima - Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
Malam Keenam - Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
Malam Ketujuh - Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
Malam Kelapan - Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
Malam Kesembilan - Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
Malam Kesepuluh - Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat. 

Malam Kesebelas - Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
Malam Keduabelas - Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
Malam Ketigabelas - Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
Malam Keempatbelas - Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
Malam Kelimabelas - Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
Malam Keenambelas - Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
Malam Ketujuhbelas - Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
Malam Kelapanbelas - Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
Malam Kesembilanbelas - Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
Malam Keduapuluh - Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
Malam Keduapuluh satu - Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
Malam Keduapuluh dua - Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
Malam Keduapuluh tiga - Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
Malam Keduapuluh empat - Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
Malam Keduapuluh lima - Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
Malam Keduapuluh enam - Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
Malam Keduapuluh tujuh - Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
Malam Keduapuluh lapan - Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
Malam Keduapuluh sembilan - Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
Tarawih Malam Ketigapuluh - Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar



Adakah anda tahu ianya hanyalah P.A.L.S.U? Kononnya juga ya fadhilat ramadhan ini adalah hadis dari Rasulullah yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. Namun apabila merujuk kepada kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis termasuklah kitab hadis palsu ( maudhu'aat) pun di dapati tiada hadis tersebut.


Nampak gayanya kita umat islam sengaja di momokkan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Tersebarnya hadis-hadis palsu ini telah mencemar kesucian hadis Rasulullah s.a.w yang dipelihara oleh ulama-ulama terdahulu. 


Walaubagaimanapun, tidak di nafikan kelebihan solat terawih dan kedudukannya di dalam sunnah. Tapi sebagai umatnya dan kita diberi kelebihan akal, haruslah selidik dahulu sebarang info agar tidak terus ditipu. Kadang-kadang ada manusia yang sengaja ingin memalingkan akidah kita. Jadi hati-hatilah wahai semua rakan-rakan yang Mida sayang. Biarlah kita menjadi manusia yang berpesan-pesan.


Akhir bicara, kongsi-kongsi dan panjang-panjangkanlah maklumat ini kepada yang belum tahu. Dirikan terawih dengan ikhlas, biar Allah saja yang tahu ganjaran yang ingin Dia berikan kepada kita.


Luv,
Mida (^_^)





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...